Wednesday, 4 November 2015

MISTERI LPT2

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 merupakan lebuhraya yang panjangnya meliputi 185 km dan bermula dari Jabur dan berakhir di Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu. Lebuhraya ini merupakan lebuhraya bertaraf tinggi denagn empat  lorong dua hala, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti 10 persimpangan bertingkat, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah, lampu jalan, dan plaza tol denagn berasaskan kriteria reka bentuk dan pemilihan laluan. 

Namun begitu, sejak mula beroperasi pada Ogos 2011 hingga Oktober 2015 sebanyak 1989 kes kemalanagn telah direkodkan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 atau LPT2 dengan 85 kes kematian. Sejak LPT2 dibuka sudah terlalu banyak kes kemalangan yang telah meragut nyawa pengguna lebuhraya berkenaan. Pelbagai teori dibuat oleh pengguna lebuhraya tersebut dan hal ini merupakan misteri yang perlu dirungkai.







Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengatakan bahawa faktor manusia adalah punca utama yang menyumbang berlakunya kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2. Menurut ketua pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Ismail Md Saleh faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama berlakunya kemalangan di LPT 2. Daripada 339 kes yang berlaku antara 1 Februari 2015 sehingga 2 Jun 2015, 70 peratus atau 238 kes kemalangan adalah berpunca daripada faktor manusia.  Hanya 30 peratus pengguna LPT 2 yang didapati mematuhi had kelajuan yang ditetapkan iaitu 110 km sejam. Sebanyak 50 peratus pengguna memandu lebih daripada 140 km perjam ketika menggunakan lebuhraya berkenaan.  


Menurut LLM, permukaan LPT 2 berada dalam keadaan yang baik secara amnya, namun terdapat beberapa kawasan yang berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuhraya yang beralun di beberapa lokasi. Namun begitu, sebahagian lokasi yang berlaku mendapan dan beralun  telah dibaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan secara berkala. LLM dan JKR juga telah mengenal pasti lokasi selekoh berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan kerjasama pihak polis, JPJ dan SPAD. Sebanayak 28 lokasi sepanjang jajaran LPT 2 dari Gemuruh ke Kijal telah dikenal pasti sebagagai jalan yang tidak sekata dan beralun serta berbahaya kepada pengguna.

Kerajaan Terengganu juga akan mengambil langkah segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut terus berlaku di LPT 2. Anatara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah meletakkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) disepanjang laluan yang dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan. Seterusnya, memperbanyakkan papan tanda amaran dan meminta LLM mengenalpasti kawasan kemalangan maut serta mencadangkan pihak polis memasang perangkap had laju di sepanjang LPT 2.


LAGI PESAWAT TERHEMPAS

    Pada 31 Oktober 2015 yang lalu, dunia sekali lagi digemparkan dengan berita kapal terbang terhempas. Kali ini pesawat malang tersebut merupakan pesawat milik Rusia iaitu Rusia Rosaviatsiya yang berlepas dari Mesir. Pesawat malang berkenaan hanya sempat terbang selama 23 minit sebelum hilang dari radar dan terputus hubungan radio dengan pusat kawalan trafik udara Cyprus dari Lapangan Terbang Sharm el-Sheikh pada jam 6.51 pagi waktu Moscow. Penerbangan 9268 dijangka tiba di Lapangan Terbang St Petersburg Pulkovo pada jam 12.10 tengah hari namun tidak dapat berbuat demikian kerana terhempas hanya 23 minit selepas memulakan perjalanan.

     Pesawat tersebut telah terhempas di pusat bandar Sinai dan membabitkan  224 penumpang dan anak kapa. Indisen tersebut telah disahkan oleh pejabat Perdana Menteri Mesir dan pejabat berkenaan  juga mengesahkan bahawa bangkai pesawat tersebut telah ditemui di kawasan pergunungan di Sinai. Kebanyakan penumpang pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia , Kogalymavia merupakan pelancong warganegara Rusia yang bercuti di pusat peranginan Sharm el-Sheikh. Laporan juga menunjukkan  bahawa 217 orang penumpang dan tujuh anak kapal telah meninggal dunia di tempat kejadian. 








     Punca sebenar pesawat Airbus A-321 milik Rusia ini terhempas masih lagi belum diketahui dan kerajaan Rusia juga menolak kemungkinan bahawa pesawat berkenaan telah ditembak jatuh oleh kumpulan pengganas IS. Hal ini kerana, kumpulan pengganas IS telah mengaku bahawa mereka telah menembak jatuh pesawat berkenaan sebagai protes kerana keajaan Rusia telah menyerang mereka. Namun begitu, pengarah perisikan nasional US, James Clapper berkata dia yakin tiada bukti jelas yang menunjukkan pengganas adalah punca kepada kemalangan pesawat Rusia di semenanjung Sinai, Mesir. Beliau berpendapat bahawa kemalangan yang melibatkan penerbangan 9268 itu tidak mungkin berpunca daripada serangan kumpulan IS. Bukti yang menunjukkan kemalangan itu melibatkan kumpulan pengganas berkenaan juga tiada dan punca sebenar nahas tersebut hanya boleh diketahui selepas kotak hitam dianalisis oleh pakar.

  Disamping itu juga, Syarikat Penerbangan Emirates telah memberhentikan penerbangan kesemenanjung Senai atas faktor keselamatan dan menurut jurucakap syarikat Emirates, mereka sedang memantau keadaan di semenanjung Sinai sebelum meneruskan operasi dikawasan berkenaan selepas sebuah pesawat milik Rusia terhempas dan meragut nyawa 224 orang penumpang serta anak kapal. Emirates juga menegaskan bahawa penerbangan mereka akan mengelak untuk terbang ke semenanjung Sinai sehingga maklumat lanjut diketahui. Selain Emirates, syarikat penerbangan Air France dan Lufthansa juga mengambil langkah yang sama dengan memberhentikan penerbangan kekawasan semenanjung Senai sebagai langkah berjaga-jaga. Punca sebenar pesawat malang yang membawa 217 orang penumpang warga Rusia , tiga orang penumpang warga Ukraine dan tujuh orang kru masih belum diketahui dan masih dalam proses siasatan.














Thursday, 15 October 2015

EKSPLOITASI BAUKSIT DI PAHANG



Bauksit adalah salah satu daripada bahan mineral yang penting bagi galian aluminium. Bauksit merupakan sisa mendapan lempung yang kebiasaanya boleh didapati di kawasan tropika dan subtropika. Bauksit juga mengandungi oksida aluminium, hidrokida boehmit, gibsit, silika, oksida besi dan lempung. Nama bauksit diambil bersempena dengan nama sebuah kampung di selatan Perancis iaitu Les Baux. Di Malaysia kawasan yang mempunyai bijih bauksit adalah di Kuantan, Pahang. Namun demikian eksploitasi secara besar-besaran di kawasan ini telah menyebabkan pelbagai permasalahan dan kesan serius.

Kuantan kaya dengan sumber bauksit dan ini telah menyebabkan berlakunya perlombongan bauksit yang semakin tidak terkawal di kawasan berkenaan. Hal ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran terutama di kawasan Bukit Goh, Gebeng dan pelabuhan Kuantan. Lori yang keluar masuk menyebabkan sisa bauksit berterbangan dan menyebabkan berlakunya pencemaran. Tahap kesihatan penduduk juga terjejas kerana terpaksa menghirup udara yang tercemar dengan debu bauksit. Kawasan jalan raya juga dipenuhi dengan tanah yang berwarna merah bata dan menyebabkan keadaan jalan raya berada dalam situasi yang amat kotor serta tidak sekata.








      
Ketamakan pihak yang mengeksploitasi sumber mineral tersebut telah menyebabkan pnduduk di kawasan berkenaan terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sihat. Pelbagai penyakit dan masalah gangguan kesihatan akan timbul seperti asma, batuk, demam, masalah pernafasan dan lain-lain. Laporan pakar juga mendedahkan bahawa kesan pencemaran bauksit telah menyebabkan berlakunya pencemaran radiasi keatas sumber air. Menurut akhbar New Strait Times, keputusan ujian makmal keatas sampel air dari muara sungai dicemari oleh logam berat serta pencemaran radiasi peringkat awalan. Logam berat seperti thorium 230 dan 232 serta uranium 234 dan 238 dikesan dalam sampel yang diuji. Logam ini merupakan logam radioaktif dan membahayakan kesihatan manusia serta hidupan laut. Oleh hal yang demikian, penduduk di kawasan tersebut dilarang untuk memakan hasil laut dari kawasan berkenaan kerana mengandungi kimia arsenik yang tinggi.


Untuk meminimunkan pencemaran daripada bahan mineral bauksit kepada penduduk setempat di kawasan yang terjejas, Kuantan Port Consortium Sdn.Bhd ( KPC) akan membina tembok setinggi sembilan meter di kawasan penyimpanan bauksit di pelabuhan  Kuantan. Disamping itu juga, KPC juga kan memasang jaring bagi mengelakkan debu bauksit daripada terus berterbangan di ruang udara sehingga mengganggu kesihatan penduduk setempat. Pihak yang berkaitan juga akan menyelenggara dan memasang penapis di longkang serta mengasingkan sisa kelodak bauksit agar tidak mengalir terus ke dalam sungai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air.

Kesimpulannya eksploitasi bauksit di Kuantan telah menyebabkan hidup penduduk setempat tidak aman kerana mereka terpaksa menghirup udara yang tidak sihat setiap hari. Hal ini perlu dipandang serius oleh pihak yang terlibat agar penduduk setempat dapat hidup dengan tenang tanpa sebarang pencemaran akibat perlombongan bauksit. Sehubungan dengan itu pihak kerajaan negeri Pahang perlu mengambil tindakan dengan segera untuk menyelesaikan masalah ini kerana masalah ini sudah berlanjutan hampir setahun dan ianya pasti akan membantu penduduk setempat kembali tenang serta dapat meneruskan aktiviti harian mereka dengan lebih bersemangat.

















































Wednesday, 7 October 2015

REKOD JEREBU PALING TERUK DI ASIA TENGGARA



     Sejak beberapa minggu yang lalu, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah dilanda jerebu yang amat teruk berpunca dari negara jiran iaitu Indonesia. Jerebu mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ke-2 bermaksud kabut yang disertai debu yang terapung-apung di atmosfera dan menyebabkan keadaan sekeliling kelihatan kabur dan diliputi jerebu. Jerebu juga merupakan fenomena atmosfera yang disebabkan oleh debu, habuk, asap dan zarah mencemari kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika debu, asap dan zarah terkumpul pada hari yang kering. Zarah kecil akan terkumpul di kawasan atmosfera yang rendah dan akan menyebabkan terjadinya jerebu.
     Fenomena ini merupakan masalah yang sering dihadapi oleh penduduk Malaysia dan Singapura saban tahun dan hal ini tidak boleh dibiarkan. Saban tahun fenomena jerebu yang disebabkan oleh pembakaran hutan secara besar-besaran di Indonesia akan berlaku. Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana kesan jerebu amat banyak dan akan menyebabkan pelbagai implikasi akan berlaku. Keadaan jerebu yang masih berterusan juga disebabkan oleh kebakaran tanah gambut di Kalimantan walaupun usaha-usaha untuk memadam kebakaran  hutan masih berterusan ditambah pula dengan fenomena El-Nino yang sedang melanda asia tenggara.
    Faktor utama yang menyebabkan jerebu adalah pembakaran hutan secara besar-besaran oleh petani-petani kecil di Kalimantan dan Sumatera. Namun demikian tindakan mereka telah menyebabkan berlakunya jerebu di Malaysia dan kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Shah Alam dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) 264 iaitu paras sangat tidak sihat. Namun demikian penduduk di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, kini mungkin tiada mempunyai ruang untuk bernafas dengan lega kerana mereka berada dalam keadaan sangat berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu kini melebihi 2,000. Palangkaraya juga telah diisytiharkan darurat sejak dua minggu yang lalu dan telah menyebabkan aktiviti harian penduduk di kawasan tersebut terganggu. Di Singapura pula IPU telah mencapai kualiti sangat tidak sihat dengan IPU 300.




    Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional (NASA) fenomena jerebu yang sedang melanda Indonesia, Malaysia dan Singapura kali ini berpotensi menjadi yang terburuk dalam sejarah. Hal terjadi kerana perubahan cuaca akibat kesan El-Nino hingga menyebabkan rekod jerebu kali ini boleh menyamai atau mungkin lebih teruk daripada krisis jerebu yang pernah melanda asia tenggara pada tahun 1997. Menurut NASA juga musim kemarau pada tahun ini lebih panas dan panjang berbanding tahun sebelumnya.




    Sampai bilakah Malaysia dan Singapura perlu menanggung derita jerebu yang disebabkan oleh negara jiran iaitu Indonesia? Sejak 20 tahun yang lalu isu ini sering terjadi dan tiada sebarang tindakan diambil untuk menghalang perkara ini daripada terus terjadi di masa hadapan. Negara anggota ASEAN perlu memikirkan usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan perkara ini daripada terus terjadi kerana hal ini telah menjadi duri dalam daging kepada negara yang terlibat. Malaysia khususnya yang merupakan pengerusi ASEAN 2015 perlu menggunakan kedudukan sebagai pengerusi untuk menekan dan mencadangkan usaha untuk menangani masalah jerebu di asia tenggara khususnya. Indonesia juga perlu bertindak dengan lebih tegas untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa hadapan.
     Konklusinya, fenomena jerebu merupakan masalah yang berlaku saban tahun akibat pembakaran hutan secara besar-besaran di Indonesia dan menyebabkan banyak implikasi yang berlaku kepada negara jiran terutama Malaysia dan Singapura. Sehubungan dengan itu semua negara anggota perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku.