Sejak beberapa minggu yang lalu, Malaysia,
Indonesia dan Singapura telah dilanda jerebu yang amat teruk berpunca dari
negara jiran iaitu Indonesia. Jerebu mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
Edisi Ke-2 bermaksud kabut yang disertai debu yang terapung-apung di atmosfera
dan menyebabkan keadaan sekeliling kelihatan kabur dan diliputi jerebu. Jerebu
juga merupakan fenomena atmosfera yang disebabkan oleh debu, habuk, asap dan
zarah mencemari kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika debu, asap
dan zarah terkumpul pada hari yang kering. Zarah kecil akan terkumpul di
kawasan atmosfera yang rendah dan akan menyebabkan terjadinya jerebu.
Fenomena ini merupakan masalah yang sering
dihadapi oleh penduduk Malaysia dan Singapura saban tahun dan hal ini tidak
boleh dibiarkan. Saban tahun fenomena jerebu yang disebabkan oleh pembakaran
hutan secara besar-besaran di Indonesia akan berlaku. Hal ini tidak boleh dipandang
ringan kerana kesan jerebu amat banyak dan akan menyebabkan pelbagai implikasi
akan berlaku. Keadaan jerebu yang masih berterusan juga disebabkan oleh
kebakaran tanah gambut di Kalimantan walaupun usaha-usaha untuk memadam
kebakaran hutan masih berterusan
ditambah pula dengan fenomena El-Nino yang sedang melanda asia tenggara.
Faktor utama yang menyebabkan jerebu adalah
pembakaran hutan secara besar-besaran oleh petani-petani kecil di Kalimantan dan
Sumatera. Namun demikian
tindakan mereka telah menyebabkan berlakunya jerebu di Malaysia dan kawasan
yang paling teruk terjejas adalah di Shah Alam dengan bacaan indeks pencemaran
udara (IPU) 264 iaitu paras sangat tidak sihat. Namun demikian penduduk di
Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, kini mungkin tiada mempunyai ruang
untuk bernafas dengan lega kerana mereka berada dalam keadaan sangat berbahaya
apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu kini melebihi
2,000. Palangkaraya juga telah diisytiharkan darurat sejak dua minggu yang lalu
dan telah menyebabkan aktiviti harian penduduk di kawasan tersebut terganggu. Di
Singapura pula IPU telah mencapai kualiti sangat tidak sihat dengan IPU 300.
Menurut Pentadbiran
Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional (NASA) fenomena jerebu yang sedang
melanda Indonesia, Malaysia dan Singapura kali ini berpotensi menjadi yang
terburuk dalam sejarah. Hal terjadi kerana perubahan cuaca akibat kesan El-Nino
hingga menyebabkan rekod jerebu kali ini boleh menyamai atau mungkin lebih teruk daripada krisis jerebu yang pernah melanda asia tenggara pada tahun 1997. Menurut NASA juga musim
kemarau pada tahun ini lebih panas dan panjang berbanding tahun sebelumnya.
Sampai bilakah Malaysia dan Singapura perlu
menanggung derita jerebu yang disebabkan oleh negara jiran iaitu Indonesia?
Sejak 20 tahun yang lalu isu ini sering terjadi dan tiada sebarang tindakan
diambil untuk menghalang perkara ini daripada terus terjadi di masa hadapan. Negara
anggota ASEAN perlu memikirkan usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan
perkara ini daripada terus terjadi kerana hal ini telah menjadi duri dalam
daging kepada negara yang terlibat. Malaysia khususnya yang merupakan pengerusi
ASEAN 2015 perlu menggunakan kedudukan sebagai pengerusi untuk menekan dan
mencadangkan usaha untuk menangani masalah jerebu di asia tenggara khususnya. Indonesia
juga perlu bertindak dengan lebih tegas untuk memastikan perkara ini tidak
berulang pada masa hadapan.
Konklusinya, fenomena jerebu merupakan
masalah yang berlaku saban tahun akibat pembakaran hutan secara besar-besaran
di Indonesia dan menyebabkan banyak implikasi yang berlaku kepada negara jiran
terutama Malaysia dan Singapura. Sehubungan dengan itu semua negara anggota
perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menangani masalah ini
daripada terus berlaku.
No comments:
Post a Comment