Thursday, 15 October 2015

EKSPLOITASI BAUKSIT DI PAHANG



Bauksit adalah salah satu daripada bahan mineral yang penting bagi galian aluminium. Bauksit merupakan sisa mendapan lempung yang kebiasaanya boleh didapati di kawasan tropika dan subtropika. Bauksit juga mengandungi oksida aluminium, hidrokida boehmit, gibsit, silika, oksida besi dan lempung. Nama bauksit diambil bersempena dengan nama sebuah kampung di selatan Perancis iaitu Les Baux. Di Malaysia kawasan yang mempunyai bijih bauksit adalah di Kuantan, Pahang. Namun demikian eksploitasi secara besar-besaran di kawasan ini telah menyebabkan pelbagai permasalahan dan kesan serius.

Kuantan kaya dengan sumber bauksit dan ini telah menyebabkan berlakunya perlombongan bauksit yang semakin tidak terkawal di kawasan berkenaan. Hal ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran terutama di kawasan Bukit Goh, Gebeng dan pelabuhan Kuantan. Lori yang keluar masuk menyebabkan sisa bauksit berterbangan dan menyebabkan berlakunya pencemaran. Tahap kesihatan penduduk juga terjejas kerana terpaksa menghirup udara yang tercemar dengan debu bauksit. Kawasan jalan raya juga dipenuhi dengan tanah yang berwarna merah bata dan menyebabkan keadaan jalan raya berada dalam situasi yang amat kotor serta tidak sekata.








      
Ketamakan pihak yang mengeksploitasi sumber mineral tersebut telah menyebabkan pnduduk di kawasan berkenaan terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sihat. Pelbagai penyakit dan masalah gangguan kesihatan akan timbul seperti asma, batuk, demam, masalah pernafasan dan lain-lain. Laporan pakar juga mendedahkan bahawa kesan pencemaran bauksit telah menyebabkan berlakunya pencemaran radiasi keatas sumber air. Menurut akhbar New Strait Times, keputusan ujian makmal keatas sampel air dari muara sungai dicemari oleh logam berat serta pencemaran radiasi peringkat awalan. Logam berat seperti thorium 230 dan 232 serta uranium 234 dan 238 dikesan dalam sampel yang diuji. Logam ini merupakan logam radioaktif dan membahayakan kesihatan manusia serta hidupan laut. Oleh hal yang demikian, penduduk di kawasan tersebut dilarang untuk memakan hasil laut dari kawasan berkenaan kerana mengandungi kimia arsenik yang tinggi.


Untuk meminimunkan pencemaran daripada bahan mineral bauksit kepada penduduk setempat di kawasan yang terjejas, Kuantan Port Consortium Sdn.Bhd ( KPC) akan membina tembok setinggi sembilan meter di kawasan penyimpanan bauksit di pelabuhan  Kuantan. Disamping itu juga, KPC juga kan memasang jaring bagi mengelakkan debu bauksit daripada terus berterbangan di ruang udara sehingga mengganggu kesihatan penduduk setempat. Pihak yang berkaitan juga akan menyelenggara dan memasang penapis di longkang serta mengasingkan sisa kelodak bauksit agar tidak mengalir terus ke dalam sungai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air.

Kesimpulannya eksploitasi bauksit di Kuantan telah menyebabkan hidup penduduk setempat tidak aman kerana mereka terpaksa menghirup udara yang tidak sihat setiap hari. Hal ini perlu dipandang serius oleh pihak yang terlibat agar penduduk setempat dapat hidup dengan tenang tanpa sebarang pencemaran akibat perlombongan bauksit. Sehubungan dengan itu pihak kerajaan negeri Pahang perlu mengambil tindakan dengan segera untuk menyelesaikan masalah ini kerana masalah ini sudah berlanjutan hampir setahun dan ianya pasti akan membantu penduduk setempat kembali tenang serta dapat meneruskan aktiviti harian mereka dengan lebih bersemangat.

















































No comments:

Post a Comment